Kita sentiasa tewas. Tewas dengan diri sendiri. Tewas dengan pujuk rayu syaitan yang tak berhenti menghasut. Bagaimana caranya untuk melawan?
Berikut merupakan beberapa tips yang boleh diamalkan. Moga terkesan dan membawa perubahan terhadap diri.
1. Fikirkan tentang matlamat hidup dan sibukkan diri untuk mencapainya.
2. Pasakkan keyakinan Allah Maha Melihat apa yang sedang kita lakukan.
3. Sedarkan diri bahawa malaikat sentiasa bersama kita mencatat apa yang ditulis, diucap dan dilakukan.
4. Rapatkan hubungan dengan ahli keluarga yang baik dan soleh.
5. Putuskan hubungan 'songsang' atau 'gelap' sama ada yang dibuat secara suka-suka atau serius, yang diperoleh melalui internet atau fizikal, melalui laman chat, e-mel, web dan sebagainya.
Putuskan semua medium yang boleh mendorong kepada peningkatan nafsu syahwat. Jika berseorangan di hadapan komputer itu boleh menyebabkan syahwat naik, maka elakkan diri daripada berseorangan. Jika berbual mesra dan makan tengah hari bersama rakan sekerja berlainan jantina itu puncanya, maka elakkan diri. Begitulah seterusnya.
6. Ubah rutin kehidupan yang mendorong kepada peningkatan syahwat. Setiap orang sedar dan tahu jenis tindakan yang boleh mendorong kepada peningkatan syahwat masing-masing kerana ia mungkin tidak sama dengan orang lain.
7. Putuskan hubungan adik, kakak dan abang angkat kerana ia tidak lain kecuali haram dan pendorong maksiat.
8. Hadiri majlis ilmu dan sibukkan diri membuat sesuatu seperti membuat blog, menulis buku dan majalah, menghasilkan karya seni lukisan dan sebagainya. Buat satu sasaran lain dalam hidup yang boleh menyibukkan diri anda untuk mencapainya. Tanpa sasaran dalam kehidupan, keinginanan syahwat akan membiak dan berkembang akibat waktu kosong.
9. Sertai kumpulan NGO atau kumpulan berasaskan dakwah. Dengannya anda akan mendapat rakan dan sahabat yang baik. Selain itu masa kosong dan pemikiran syahwat akan dapat dibendung hasil kesibukan menganjur program dalam kumpulan terbabit.
10. Sertai kumpulan berasas keagamaan yang boleh membawa kepada ingatan kepada Allah. Namun awas dan elakkan daripada kumpulan ajaran sesat dan songsang.
11. Kalau anda sedang bekerja atau belajar, sasarkan diri untuk cemerlang dalam pekerjaan atau pelajaran anda. Dengan itu anda akan lebih sibuk dan pemikiran akan lebih terarah kepada tujuan yang digariskan sekaligus ingatan keppada syahwat akan mula menurun atau ruangannya disempitkan.
12. Ziarahi kubur secara kerap agar syahwat menjadi tawar akibat memikirkan kematian.
13. Fikirkan bahawa anda akan mati ketika sedang melakukan maksiat itu. Adakah anda suka menerima kematian dalam situasi itu? Fikirkan selalu.
14. Kalau anda sedang bersyahwat dengan seorang wanita sekalipun secara maya seperti di Internet dan Tv, segeralah gambarkan kehodohannya agar syahwat kembali menurun. Cuba bayangkan wanita itu mulut dan nafasnya berbau busuk, giginya kotor, muntahnya busuk, ada penyakit keputihan dan lendir, najis tidak dibasuh bersih, ada AIDS dan lain-lain.
15. Kalau komputer dan internet kerap menjadi asbab peningkatan syahwat, maka mainkan alunan bacaan al-Quran setiap kali menghadap komputer. InshaAllah rasa malu akan timbul. Kalau tidak banyak pun, sedikit. Kalau syahwat masih menggila di hadapan komputer itu, segera berhenti maka keluarlah dari bilik dan lihatlah awan, langit, pokok dan laut dan ingatkan kebesaran Allah.
16. Jangan sesekali membiarkan diri terus menerus dipukau nafsu dan syaitan. Satu jurus langkah kepada maksiat ialah kunci kepada syaitan untuk menjerumuskan kita ke dalam maksiat yang lebih besar. Apa sahaja perbuatan yang mampu mendorong kepada kehampiran kepada maksiat yang lebih besar mesti disekat segera. Allah sendiri mengingatkan, mafhumnya ;
" Dan janganlah kamu menuruti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya dia musuh kamu yang amat jelas." (Surah al-Baqarah : 168)
17. Menjaga pemakanan dengan memastikan makanan halal dan bersih. Makanan haram mendorong kepada syahwat yang lebih liar.
18. Memastikan harta yang diperoleh itu daripada sumber halal. Sumber haram menambah perisa syahwat lalu ia menjadi lebih kuat dan dahsyat ibarat mutasi virus yang lebih merbahaya kepada kesihatan.
19. Amalkan berpuasa sunat, berzikir secara berdisiplin setiap kali lepas solat dan berdoa sebanyak mungkin semasa sujud dalam solat agar diberi kekuatan untuk mengawal nafsu syahwat.
20. Segera beristighfar dan bertaubat walau belum jatuh dalam maksiat yang berat. Firman Allah, mafhumnya;
"Dan bersegeralah kamu kepada keampunan daripada Tuhanmu dan syurga yang terbentang seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang yang bertakwa." (Surah Ali Imran: 133)
* Ini merupakan artikel daripada Dr Zaharuddin Abdul Rahman. Sama-sama kita renungkan dan mendapat manfaat daripadanya.

No comments:
Post a Comment